MAKLUMAT AM
 
RENCANA
 

RAWATAN HUTAN: PROGRAM PEMULIHARAAN BERSEPADU

 

Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd (KPKSB) amat menyedari keperluan kepada pemeliharaan hutan bukan sahaja untuk memastikan bekalan kayu-kayan secara berterusan, tetapi juga untuk kepentingan kestabilan alam sekitar, perlindungan hidupan liar serta pengekalan kepelbagaian biologi. Mengikut perjanjian yang telah dipersetujui antara KPKSB dan PKINK, syarikat dikehendaki menjalankan kerja-kerja pemulihan hutan di kawasan-kawasan yang telah diusahasil. Operasi utama yang perlu dijalankan melibatkan kerja-kerja Inventori Hutan Selepas Tebangan dan Rawatan Silvikultur.

Inventori Hutan Selepas Tebangan (Post-F) ialah inventori yang dijalankan ke atas sesuatu kawasan hutan selepas pengusahasilan untuk mengumpul maklumat yang tepat dan bererti mengenai kedudukan stok, isi kandungan, keadaan dan taburan semua pokok besar, kayu jaras, anak pokok dan anak benih supaya diketahui gambaran isi hutan yang sebenar serta dapat menentukan jenis Rawatan Silvikultur yang perlu dijalankan ke atas kawasan tersebut. Manakala Rawatan Silvikultur pula ialah rawatan yang dijalankan ke atas kawasan hutan yang telah diusahasilkan untuk membantu pemulihannya dan melibatkan salah satu atau lebih daripada jenis-jenis rawatan silvikultur berikut:

(i) Menggelang Pokok dan Memotong Akar Pepanjat (GCL)

Menggelang Pokok dan Memotong Akar Pepanjat ialah suatu jenis Rawatan Silvikultur yang dilaksanakan ke atas kawasan-kawasan di dalam Hutan Simpanan Kekal yang telah diusahasilkan. Rawatan ini melibatkan aktiviti menggelang pokok yang bersifat buruk atau cacat bagi membuka naungan kepada anak-anak pokok pilihan secara beransur-ansur untuk membantu mengurangkan saingan serta memotong akar pepanjat bagi membebaskan Dirian Tinggal daripada gangguan untuk membolehkannya membesar dengan cepat.

(ii) Memotong Akar Pepanjat (CL)

Memotong Akar Pepanjat ialah suatu jenis Rawatan Silvilkultur yang dilaksanakan ke atas kawasan-kawasan di dalam Hutan Simpanan Kekal yang telah diusahasilkan. Rawatan ini melibatkan aktiviti memotong akar pepanjat bagi membebaskan Dirian Tinggal daripada gangguan untuk membolehkannya membesar dengan cepat.

(iii) Tanaman Mengaya (TM)

Tanaman Mengaya ialah suatu jenis Rawatan Silvilkultur yang dilaksanakan ke atas kawasan-kawasan di dalam Hutan Simpanan Kekal yang telah diusahasil bagi membantu meningkatkan isi kandungan hutan tersebut supaya mencapai tahap yang dikehendaki terutamanya dari segi komposisi jenis-jenis pokok berpasaran dan bermutu.

 

Disamping Rawatan Silvikultur, syarikat juga melaksanakan aktiviti Tanaman Kawasan Lapang (TKL). Secara amnya TKL adalah suatu kaedah penghutanan semula secara menanam anak-anak pokok di kawasan-kawasan lapang yang terbentuk akibat operasi pembalakan di mana merangkumi kawasan-kawasan bekas betau, jalan-jalan penarik dan juga kawasan-kawasan yang dikenalpasti mengalami pembukaan tanah yang luas. Aktiviti TKL perlu dilaksanakan sebaik sahaja sesebuah kawasan itu selesai diusahasilkan. Ini adalah selaras dengan Para 8.1.2 dalam Syarat-Syarat Tambahan Lesen berbunyi “Pemegang lesen hendaklah melaksanakan tanaman anak pokok dari jenis-jenis yang dibekalkan di atas lorong-lorong penarik serta betau-betau sementara dan kawasan terbuka di sepanjang jalan tuju”.

Walaupun kerja-kerja pengusahasilan hutan di dalam konsesi perjanjian KPKSB telah dimulakan sekitar tahun 1983, aktiviti pemulihan hutan di kawasan yang telah dibalak hanya dimulakan dalam tahun 1988.

Dewasa ini, komitmen KPKSB terhadap usaha pemulihan dan pemeliharaan hutan bukan setakat hanya untuk memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri dan bagi tujuan penyediaan laporan penutup semata-mata. Syarikat begitu menitikberatkan keberkesanan aktiviti rawatan hutan yang telah dilaksanakan dan keupayaannya dalam mengekalkan kualiti dan kuantiti pengeluaran kayu-kayan pada giliran tebangan seterusnya di samping mengekalkan fungsi dan kepentingan hutan kepada alam sekitar dan kepelbagaian biologi. Oleh itu, sebuah rancangan pembangunan hutan secara menyeluruh dan bersepadu sedang dirangka dan akan direalisasikan bagi mencapai objektif sebenar aktiviti rawatan hutan dalam kawasan konsesi perjanjian KPKSB. Dikenali sebagai Program Pemuliharaan Bersepadu, konsep rawatan hutan ini merupakan usaha murni syarikat untuk mencapai hasrat Pengurusan Hutan Secara Berkekalan di samping menjadi misi syarikat untuk melangkah ke hadapan sebagai forest model atau contoh terbaik pengurusan dan pembangunan hutan di negara ini.